Saturday, July 30, 2011

Ramadhan Datang Lagi

Hari ini seperti biasa opah dan tok wan menghantar anak bongsu ke sekolah.  Hari ni ada kelas tambahan bagi murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 5.  Selepas anak opah dah masuk ke kawasan sekolah, opah dan tok wan berfikir ke kedai makan mana kami nak breakfast. Semalam kami pergi ke Kuala Kurau, lebih kurang 40 km daripada bandar Taiping untuk makan kari ikan sembilang.  Pagi2 lagi kami dah kena nasi.  Semalam kedai dan makanan pilihan tok wan.

Hari ni pilihan opah pula.  Opah pun ajak tok wan pergi ke gerai yang kerap juga kami singgah.  Gerai ni tak jauh daripada sekolah anak opah.  Tok wan ikut saja.   Maklumlah hari ni hari wanita.  Mesti ikut!!!!!!!!!!

Pagi ni opah yang memandu.  Bukan apa opah dah bosan dengar tok wan membebel pasal pemandu yang pelbagai ragam.  Jem sikit pun tok wan dah bising.  Opah kata tu baru jem traffic light.  Tak sampai pun sepuluh minit.  Bayangkan opah yang kerap makan jem tanpa roti kat KL suatu ketika dulu.  Jadi daripada dengar lagu tanpa muzik, baik opah sendiri yang pandu.  Aman!!!!!!

Sampai ke gerai tersebut, opah terkejut.  Amboi!! ramainya pelanggan.

Opah ;  Ramainya orang bang
Tok Wan : Orang nak puasa esok lusa, hari ni makan la dulu
Opah : Ramai orang masjid, dia orang pi kursus haji ke?
Tok Wan:  Kalau kursus haji, tentu habis jam 11.00 pagi. Ni baru 7.30 pagi, kursus haji apa?
                 Macam mana, nak makan di sini atau tempat lain.
Opah:  Kat sini la.

Opah terus duduk di salah sebuah meja yang kosong sementara tok wan pergi mengambil makanan.  Hari ni tok wan makan nasi putih dengan ikan pari asam pedas.  Masa tunggu tok wan datang ke meja, tiba2 isteri taukey kedai datang bersalam dengan opah.  Kerap juga opah makan di gerai ni, tapi tak pernah pun isteri taukey datang bersalam dan tanya kenapa tak makan.  Hairan opah.

Mulut opah yang peramah terus memuji tentang pelanggan yang ramai kepada isteri taukey.  Bayangkan betapa malunya opah bila isteri taukey tersebut beritahu hari ni kedainya buat kenduri menyambut Ramadhan. Terkejut opah.  Mak ai, malunya opah datang makan tanpa diundang.  Opah cepat2 minta maaf kerana opah sangkakan dia berniaga seperti biasa.  Dia maklumkan, tiap2 tahun macam tu.  Dia hanya jemput orang surau untuk bacakan doa, manakala siapa sahaja yang datang makan tidak akan dikenakan bayaran.   Ikut rezki orang tersebut.

Alhamdulillah!! Rezki opah dengan tok wan.  Opah pun dengan rasa malu2 ayam, bangun ambil bubur campur, cucur kodok dan lempeng pisang.  Hairan pula taukey kedai, kenapa hari ni opah tak makan nasi seperti biasa.  Opah kata nak ajar perut supaya tak makan banyak.  Betul ke alasan opah tu.  Entahlah!

Kalau beginilah cara peniaga Islam kita, alangkah bagusnya.  Patutlah opah tengok sepanjang opah makan di gerainya, pelanggan sentiasa ramai.  Sudahlah pelbagai makanan disediakan, harga makanannya juga jauh lebih murah berbanding kedai2 makan yang lain.  Opah harapkan lebih ramai lagi peniaga Islam mempunyai sifat pemurah, iaitu berniaga sambil bersedekah. Amin

1 comment: