Friday, August 26, 2011

Kebebasan Itu Besar Ertinya,,,,

Dah hampir sebulan umat Islam berpuasa.  Opah rasa baru semalam mula berpuasa.  Semalam selepas sembahyang terawih, tok imam mengadakan tazkirah tentang Ramadhan.  Terasa sayu hati Opah mengenangkan Ramadhan tahun ini akan berakhir.  Opah teringat adakah pada tahun hadapan Opah dan tok wan masih sempat menyambut Ramadhan.  Semasa Ramadhan tahun ini, opah rasa cukup gembira.  Apa tidaknya, puasa tahun ini Opah berpuasa sepenuhnya di rumah.  Rumah yang Opah dan tok wan beli sejak mendirikan rumahtangga.

Rumah Opah ini membawa banyak kenangan bagi opah.  Di rumah inilah opah melahirkan anak keempat Opah dan di rumah ini jugalah Opah menghantar jenazah Allahyarham ibu Opah.  Sungguh banyak pahit manis di rumah ini.  Mungkin semua kenangan itu hanya akan tinggal kenangan kerana Opah dan tok wan terpaksa membuat pengorbanan besar melepaskan rumah kesayangan.  Rumah inilah yang dapat membantu Opah dan tok wan hidup bebas, bebas bergaul dengan masyarakat seagama dan sebangsa, bebas hidup sendirian tanpa ada rasa takut pada manusia dan bebas melakukan ibadah tanpa bebanan hidup dan mungkin di tempat baru, Opah dan Tok Wan akan bertemu hamba Allah yang dapat membantu Opah membetulkan perjalanan hidup.  Insyaallah.

Hari Raya Aidilfitri ini adalah raya terakhir Opah dan keluarga beraya di rumah kesayangan Opah ini;  Tapi keriangan raya tidak Opah rasakan kerana buat pertama kali dalam sejarah hidup Opah dan Tok Wan, tidak semua anak2 balik beraya di rumah Opah.  Banyak halangan dan kekangan yang dihadapi.  Yang berkahwin terpaksa membahagi raya, yang bekerja terpaksa beralah dengan yang lama dan yang  ada cuma anak bongs dan cik alya  yang kurang menyumbang di dapur.

Apapun kehadiran Syawal perlu diraikan tanda kemenangan melawan hawa nafsu.  Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.





No comments:

Post a Comment